Saturday, February 11, 2012

Futur

Kes A
"Memang biasanya aku ligat tetapi sekarang ini aku tengah down-lah. Kau teruskanlah apa yang kau rasa baik untuk persatuan kita."
Kes B
"Masa belajar di luar negara dulu memang saya aktif dan sentiasa bersemangat. Keadaan sekarang berbeza. Saya ada tanggungjawab yang terlalu banyak yang mesti ditunaikan. Kerjaya saya sangat sangat demanding dan amat mencabar. Tuan doakanlah untuk saya."
Kes C
"Dialah dulunya yang mendidik saya agar jadi orang baik dan berguna kepada masyarakat. Namun kini dia tidak seperti dulu, bahkan lebih teruk apabila dia pula yang menentang apa yang perjuangkannya sebelum ini."
Futur
Futur bererti lemah, malas, berhenti atau terputus setelah dahulunya dia rajin dan konsisten. Di dalam konteks berkebajikan atau amal dakwah, ia adalah sejenis fenomena penyakit yang menimpa seseorang aktivis dalam bentuk rasa malas, menunda, berlambat-lambat dan lebih menyedihkan ialah apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada berbuat sesuatu yang baik setelah dia pernah beriltizam dengannya.
Kenapa Futur Bahaya?
Walaupun futur adalah fenomena yang biasa berlaku di dalam diri seseorang tetapi ia mestilah diuruskan dengan baik agar sejajar dengan sunnah. Jika tidak ia akan menyebabkan kesan-kesan yang buruk.
Di antaranya :
1 - Cuai kepada tanggungjawabnya
Futur menyebabkan seseorang menjadi lemah dan malas dalam menunaikan amanah dan tanggung-jawab yang dipikulnya. Ini menyebabkan tugasan tersebut tertangguh atau terbengkalai keseluruhannya.
2 - Gugur dari jalan kebaikan
Sekiranya futur dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan, maka dia akan menjadi satu tabiat. Lama kelamaan penyakit ini menjadi sebati dan seseorang itu menjadi semakin jauh dari amal kebaikan dan dia terus tenggelam di dalam dunianya.
Apabila dia gugur dari jalan kebaikan, maka hilanglah kebaikan yang banyak darinya. Bahkan lebih teruk lagi apabila dia pula yang menentang seruan kebaikan yang pernah diperjuangkannya.
3 - Mati di dalam keadaan yang futur
Apabila futur sudah menjadi kebiasaannya, maka dia menanggung risiko besar untuk mati di dalam keadaan sedemikian. Amat kita takuti sekali jika Allah S.W.T mengambil nyawa kita sedangkan kita dalam keadaan futur, sedangkan Allah S.W.T menghisab amal seseorang berdasarkan akhir hayatnya. Di atas sebab itulah Rasulullah S.A.W mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu dari penyakit lemah dan malas." 
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Kenapa Boleh Futur?
Di sana, terdapat banyak pintu yang boleh membuka jalan kepada futur :
1 - Terlebih dalam pergaulan
Rasulullah S.A.W menasihatkan supaya kita memilih kawan sebagaimana sabdaannya yang bemaksud;
"Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
2 - Berlebih-lebihan atau melampau di dalam beramal
Ramai aktivis muda begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga melupakan anjuran Islam dan kemampuan diri sendiri. Akhirnya apabila fenomena futur menjelma, maka dia menjadi lemah dan bosan.
Ada juga di kalangan manusia yang suka dan berlebihan menilai orang lain, namun kemudiannya dia sendiri futur dan menjadi lebih jelek dari orang yang dinilainya.
Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan walau pun sedikit."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3 - Berlebih-lebihan dalam perkara yang harus
Satu contoh berlebihan di sini ialah di dalam melayari internet, chatting atau ber-FB. Apabila berlebihan dengannya, seseorang itu akan ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk 'terbang' di alam siber. Akibatnya masa untuk berbuat kebaikan menjadi kurang dan dia sering merasa konflik antara dua perkara ini.
4 - Suka bersendirian
Apabila seseorang suka bersendirian, maka dia telah hilang satu sistem pertahanannya daripada Syaitan. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya.
Pastinya Syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal kebaikan yang diperjuangkannya. Kita hanya akan mampu berkekalan di dalam kebaikan sekiranya terus bekerja dan hidup di dalam keadaan berjemaah dan bermasyarakat.
5 - Kurang mengingati mati
Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada perjuangan ke arah kebaikan ialah dorongan untuk mendapat pahala, rindu dengan Syurga, takutkan dosa dan siksa Neraka. Amat penting bagi kita untuk terus mendidik diri agar istiqamah di dalam ibadah seperti membaca al-Quran, solat Subuh berjamaah dan amalan-amalan lain yang akan mengingatkan kita kepada Akhirat dan bukan hanya bercakap mengenai hal ehwal semasa atau politik semata-mata.
6 - Enteng dengan perkara syubhat dan berbuat dosa
Ada orang yang suka mengambil mudah atau enteng memandang dosa-dosa kecil. Lama-kelamaan dia tercebur dan berterusan dengannya. Manusia pasti melakukan silap dan dosa tetapi apabila berterusan melakukannya maka ini akan menyebabkan hatinya gelap, dia menjadi futur dan kemudiannya berakhir dengan gugur.
7 - Hati yang berpenyakit
Ada di kalangan manusia berbuat kebaikan kerana inginkan nama dan populariti, ada yang berbuat demikian untuk mencuri hati gadis yang dicintainya dan pelbagai sebab yang lain. Kegagalan untuk memperbetulkan atau memperbarui niatnya akan menyebabkan dia sukar untuk bertahan lama daripada futur dan terus berundur.
8 - Permasalahan dalaman organisasi
Bermacam-macam faktor yang boleh menyebabkan konflik internal. Hanya mereka yang mampu berbesar hati dan berlapang dada serta dengan kebijaksanaan kepimpinan maka permasalahan-permasalahan ini akan dapat diatasi dengan baik.
9 - Terlalu asyik dengan kerjaya dan dunianya
Apabila seseorang telah menjadi terlalu asyik dengan kehidupannya, maka dia boleh tenggelam dengannya dan sukar untuk bangkit melainkan sekiranya dia ikhlas, intim hubungannya dengan Allah S.W.T dan bersegera bangkit setelah dilanda futur.
Mari kita renungi bersama maksud sabda Rasulullah S.A.W ini;
"Sesungguhnya ada seorang hamba yang beramal dengan amalan ahli Syurga menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Neraka, ada seorang hamba beramal dengan amalan ahli Neraka menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Syurga. Sesungguhnya amal-amal itu bergantung daripada akhirnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Akhir Kalam
Syakhsiah diadun berdikit-dikit
Tanpa gopoh dan tanpa kendur,
Andainya futur segera bangkit,
Usah dibiarkan bersembah gugur.
Salam perjuangan.

1 comment:

  1. Pengen yang lebih seru ...
    Ayo kunjungi www.asianbet77.com
    Buktikan sendiri ..

    Real Play = Real Money

    - Bonus Promo Red Card pertandingan manapun .
    - Bonus Mixparlay .
    - Bonus Tangkasnet setiap hari .
    - New Produk Sabung Ayam ( minimal bet sangat ringan ) .
    - Referal 5 + 1 % ( seumur hidup ) .
    - Cash Back up to 10 % .
    - Bonus Royalty Rewards setiap bulan .

    untuk Informasi lebih jelasnya silahkan hubungi CS kami :
    - YM : op1_asianbet77@yahoo.com
    - EMAIL : asianbet77@yahoo.com
    - WHATSAPP : +63 905 213 7234
    - WECHAT : asianbet_77
    - SMS CENTER : +63 905 209 8162
    - PIN BB : 2B4BB06A / 28339A41

    Salam Admin ,
    http://asianbet77.com/

    ReplyDelete